BINTULU, 30 Okt: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak telah menyalurkan peruntukan RM60 juta menerusi Skim Mikro Kredit Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri MINTRED, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata skim pinjaman ini bertujuan membantu usahawan B40, pengusaha mikro dan sederhana meneruskan perniagaan.
“Bagi tahun 2021 hingga suku ketiga 2023, sebanyak RM49.5 juta telah disalurkan kepada 1,502 usahawan.
“Bukan itu sahaja, MINTRED juga telah memperkenalkan Program Go Digital Sarawak yang menyalurkan bantuan RM10,000 kepada para usahawan yang ingin mendapatkan peralatan serta keperluan digital bagi mengembangkan perniagaan mereka.
“Setakat ini, seramai 1,100 PKS telah dibantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Keusahawanan Digital di Dewan Masyarakat Jepak di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Awang Tengah berkata lagi, kementeriannya juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).
SPIKS merupakan bantuan pinjaman kepada PKS Bumiputera untuk kegunaan sebagai modal kerja, pembelian mesin dan peralatan atau ubah suai premis perniagaan.
Kerajaan Sarawak turut menyediakan peruntukan RM80.7 juta bagi bantuan subsidi kadar faedah selama tiga tahun setengah kepada PKS yang berjaya melalui skim Special Relief Fund (SRF), Targeted Relief and Recovery Fund (TRRF) dan PENJANA Tourism Facility (PTF).
“Sehingga kini, seramai 3,315 usahawan masih menikmati subsidi yang bernilai RM77 juta.
“Kerajaan Sarawak adalah satu-satunya kerajaan negeri di Malaysia yang menyediakan skim subsidi kadar faedah ini,” katanya. – TVS