BINTULU, 30 Okt: Kempen jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mendekati pengundi di kawasan tumpuan orang ramai menerima maklum balas positif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, berdasarkan ‘walkabout’ yang dilakukan hari ini, kehadiran calon GPS, Iskandar Turkee disambut meriah oleh pengunjung dan peniaga di Pasar Malam Bintulu.
Kata Dayang Noorazah, ini memberi petanda yang pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak akan meletakkan kepercayaan kepada Iskandar untuk menjadi wakil rakyat baharu di sini.
“Saya percaya pengundi di sini akan mendapat manfaat yang besar kerana calon yang kita tampilkan berpengalaman luas sebagai bekas Pengarah Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.
“Oleh itu sudah pasti beliau tahu bagaimana untuk membantu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVSÂ selepas hadir sesi ‘walkabout’ bersama Iskandar di pasar malam berkenaan hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah turut memberi nasihat kepada Iskandar jika terpilih menjadi wakil rakyat pada 4 November depan.
Kata beliau, Iskandar perlu sentiasa berlaku adil dan membantu semua lapisan masyarakat.
“Walaupun saya masih baharu sebagai ADUN Lingga, pesan saya, jangan bersikap memilih ketika hendak menghulurkan bantuan, jangan pilih bangsa, agama sebaliknya bantu semua orang,” katanya lagi. -TVS