KUCHING, 30 Okt: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah mengenal pasti sebanyak 627 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kesemua PPS itu mampu menampung seramai 162,091 orang mangsa.
Jelas beliau, daripada jumlah tersebut, terdapat empat PPS berskala besar yang mampu menampung lebih 1,000 orang.
“Pada masa ini, JKM juga mempunyai 10,000 buah khemah yang akan dipasang di PPS bagi memberi privasi kepada mangsa,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sementara itu Fatimah berkata, JKM turut menyediakan seramai 541 kakitangan terdiri daripada pegawai psikologi, kaunselor dan petugas.
“Selain itu seramai 1,443 sukarelawan JKM juga bersedia untuk berkhidmat semasa MTL,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 252 pembekal makanan di seluruh Sarawak turut dilantik oleh JKM untuk membekalkan makanan ke PPS. -TVS