RAMALLAH, 30 Okt: Tentera zionis membunuh tiga rakyat Palestin di Tebing Barat pagi Ahad menjadikan jumlah keseluruhan korban di kawasan itu kepada sekurang-kurangnya 110 orang sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, tiga orang awam berusia 29 hingga 31 tahun itu ditembak mati oleh tentera Israel pada waktu subuh tadi dalam insiden di kem pelarian Askar Nablus dan Tubas dekat Beit El di sini.
Ia tidak memberikan butiran lanjut dan tentera Israel juga tidak memberi sebarang ulasan ketika dihubungi agensi berita antarabangsa AFP.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini berlaku peningkatan keganasan antara penjajah Israel dan rakyat Palestin.
Terdahulu, seorang warga Palestin berusia 40 tahun yang sedang menuai buah zaitun dibunuh oleh penjajah di Kampung Sawiya dekat Nablus. – TVS