SEPANG, 30 Okt: Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap agar momentum kecemerlangan atlet negara pada Sukan Para Asia (APG) Hangzhou 2022 diteruskan pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris.
Dr Wan Azizah berkata beliau mahu atlet yang bakal menyertai Sukan Paralimpik mampu tampil dengan semangat tinggi bagi menjulang nama negara pada temasya sukan berprestij tersebut dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept 2024.
“Ya…dengan tekad dan semangat yang ada insya-Allah (teruskan rentak kecemerlangan di Sukan Paralimpik 2024). Kita doakan agar mereka terus sihat ” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kepulangan 113 wira dan wirawati negara pada APG Hangzhou 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Dr Wan Azizah pada masa sama kagum dengan pencapaian dilakar kontinjen negara di APG Hangzhou 2022, yang berakhir pada Sabtu.
Terdahulu, sorakan dan tepukan gemuruh mengiringi ketibaan kontinjen negara dalam sambutan yang turut disertai pegawai tertinggi Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara, wakil persatuan sukan para masing-masing serta ahli keluarga atlet.
Kontinjen negara selamat tiba di KLIA Terminal 1 menerusi penerbangan sewa khas MH8839 dan komersial MH377 masing-masing pada jam 8.07 malam (dari Hangzhou) dan 8.23 malam (dari Guangzhou).
Pada majlis sambutan tersebut, Dr Wan Azizah turut memberikan cenderahati berupa plak kepada semua penyumbang pingat di APG Hangzhou 2022.
Malaysia menamatkan cabaran dengan mengumpul tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa untuk menduduki tangga ke-12 carta pingat pada temasya sukan berprestij itu.
Pencapaian dilakar pada edisi keempat APG itu menyaksikan Malaysia berjaya melepasi sasaran 35 pingat ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebelum ini.
Tuan rumah China mempertahankan gelaran juara dengan merangkul 214 pingat emas, 167 perak dan 140 gangsa.
Iran menghuni tangga kedua dengan meraih 44 emas, 46 perak dan 41 gangsa diikuti Jepun dengan kutipan 42 emas, 49 perak dan 59 gangsa. – TVS