KOTA SAMARAHAN, 29 Okt: Sarawak terus fokus terhadap agenda pembaharuan perbandaran untuk menjadikan wilayah ini lebih hijau dan pintar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, setakat ini Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif serta program alam sekitar yang turut menyokong Strategi Pembangunan Pasca Covid 19 (PCDS) 2030.
Kata beliau, isu alam sekitar akan dapat ditangani dengan berkesan melalui pendekatan meningkatkan kesedaran memulihara alam sekitar.
“Antara yang diperkenalkan ialah amalan kitar semula. Bahan buangan boleh diproses menjadi bahan baharu atau digunakan untuk fungsi yang sama atau berlainan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang pada Majlis Perasmian Program Persekitaran Bersih Jaminan Kehidupan Lestari 2023 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Samarahan 1 di sini hari ini.
Tambah Dr. Sim, antara golongan sasar termasuklah masyarakat, kanak-kanak, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam dan agensi kerajaan untuk menjayakan matlamat berkenan.
“Saya difahamkan bahawa Majlis Perbandaran Kota Samarahan turut mengambil beberapa langkah kesedaran dengan menganjurkan program komuniti,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan memulihara alam sekitar memerlukan kerjasama sepadu segenap masyarakat.
“Ia bagi mencapai hasrat kerajaan untuk menjadikan Sarawak wilayah yang berteraskan pembangunan lestari,” ujarnya. – TVS