KUCHING, 28 Okt: Warga Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) serta agensi di bawahnya diingatkan agar sentiasa menghayati dasar kerajaan serta memahami aspirasi dan ekspektasi rakyat dalam melaksanakan projek hingga berjaya.
Menterinya, Dato Sri Julahi Narawi mengakui, pihaknya terdedah dengan fitnah dan aduan ketika menjalankan amanah dan tanggungjawab yang digalas oleh MUT.
“Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk sentiasa mengingatkan semua warga MUT dan agensi-agensi di bawah kementerian ini agar sentiasa menghayati dasar-dasar sedia ada kerajaan.
“Memahami aspirasi dan ekspektasi rakyat, mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan serta memastikan program-program dan projek-projek yang telah dirangka dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Integriti Tahun 2023 Peringkat Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi di pusat peranginan Damai Lagoon Resort di Santubong, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya akan melaksanakan penambahbaikan dalam kadar segera sekiranya terdapat kelemahan dalam pelaksanaan prosedur.
“Sekiranya ada dalam kalangan kita yang mendapati terdapat kelemahan berhubung prosedur-prosedur sedia ada yang mana memerlukan penilaian semula dan penambahbaikan.
“Perkara ini perlulah kita berikan perhatian yang khusus agar ia tidak menjejaskan perkhidmatan yang diberikan ke arah kita mencapai Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” ujarnya.
Beliau percaya, dengan adanya perlaksanaan program-program pengukuhan ia dapat meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap perkara ini yang bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dalam bidang kerja masing-masing. -TVS