KUCHING, 29 Okt: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal berucap pada Kongres Tenaga Hidro Dunia (WHC) ke-9 di Bali, Indonesia.
Abang Johari dijangka akan berkongsi pengalaman Sarawak membangunkan sektor tenaga hidro pada sesi pembukaan acara itu pada Selasa.
Menurut www.worldhydropowercongress.org kongres berkenaan akan dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo.
WHC juga bakal dihadiri oleh Presiden Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa, Malcom Turnbull yang juga bekas Perdana Menteri Australia.
Abang Johari dijangka tiba di Bali pada petang Isnin.
Bertemakan Powering Sustainable Growth, kongres tiga hari itu bakal menghimpunkan lebih 1,000 pakar dan pemimpin dalam bidang tenaga hidro global.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Sharbini Suhaili juga akan terlibat dalam sesi perbincangan mengenai peranan tenaga hidro mampan dalam mencapai matlamat pelepasan sifat bersih.
SEB merupakan rakan kongsi strategik acara anjuran Kerajaan Indonesia itu. -TVS