Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kiri) dan Iskandar Turkee (kanan) pada Majlis Pelancaran Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sebuah hotel, di Bintulu, hari ini. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS)

Manifesto GPS bukan tanam tebu di bibir, fokus pembangunan rakyat di Jepak – Awang Tengah

ByHafeezzur Muzamir

BINTULU, 29 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) melancarkan manifestonya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dengan menggariskan 14 aku janji untuk merancakkan pembangunan dan meningkatkan taraf hidup rakyat di sini.

Pengarah Pilihan Raya GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, manifesto yang diketengahkan gabungan itu memberikan tawaran terbaik kepada pengundi Jepak.

Kata beliau, teras pertama terarah kepada menjamin kestabilan dan kekuatan politik Sarawak bagi menjamin teras kedua iaitu memelihara kedaulatan dan menjaga keselamatan Sarawak.

“Teras ketiga pula memperkasa perkhidmatan kerajaan yang cekap berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik.

“Bagi teras keempat pula adalah komitmen terhadap pembangunan infrastruktur asas jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Manfesto GPS di sebuah hotel di sini, hari ini.

Yang turut hadir calon GPS, Iskandar Turkee, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Dr.  Sim Kui Hian dan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, GPS juga turut akan memberi komitmen dalam menyediakan liputan dan kualiti bekalan air dan elektrik, menara dan perkhidmatan telekomunikasi serta internet di Jepak.

“Kita juga memberi komitmen untuk mentransformasikan dan membangunkan bandar satelit Jepak, mengiktiraf tanah hak adat bumiputera (NCR) dan meneruskan usaha pengukuran tanah serta menyediakan rumah mampu milik kepada penduduk Jepak dengan akan memperbanyakkan skim penempatan semula dan pembesaran kampung, baik pulih rumah dan bantuan pembinaan rumah panjang,” jelasnya.

Awang Tengah menambah, manifesto itu turut merangkumi komitmen untuk membangunkan modal insan melalui pendidikan dan latihan teknikal vokasional berkualiti seperti yang dinyatakan pada teras kesembilan dan kesepuluh.

Salah satu janji dalam teras itu adalah komitmen untuk menyediakan peluang kepada anak-anak penduduk di kawasan Jepak bagi melanjutkan pelajaran menengah dalam bidang Sains dan Matematik di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bintulu yang dijadual beroperasi pada Februari 2024.

Bagi sektor kesihatan pula, GPS memberi komitmen untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti di Jepak dan juga menambah baik infrastruktur dan kemudahan kesihatan di kawasan itu

Awang Tengah menegaskan, manifesto GPS adalah komprehensif, pragmatik dan realistik yang meliputi pelbagai bidang demi menjaga  kepentingan dan kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan  kawasan Jepak dan Sarawak.

“Kita bukannya tanam tebu di bibir, sebaliknya kita akan pastikan aku janji dan komitmen dalam manifesto ini dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan