BINTULU, 29 Okt: Jentera wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan meningkatkan usaha bagi mengajak pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sabtu depan.
Ketua Wanitanya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peratusan keluar mengundi yang tinggi penting bagi mencapai matlamat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menang dan seterusnya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih tinggi.
Pada masa sama Fatimah berkata, pihaknya menyedari cabaran yang dihadapi termasuk pertambahan pengundi di kerusi ini.
“(Sebenarnya) bukan hanya pengundi belia sahaja bertambah malah berlaku pertambahan pengundi secara automatik, ini merupakan cabaran yang dihadapi oleh kita.
“Sehubungan itu bagi jentera wanita GPS, kami akan menggandakan usaha di peringkat cawangan serta ranting untuk menjejaki pengundi di sini dan menasihati mereka supaya turun mengundi kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Manifesto GPS PRK DUN Jepak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak berkata, pihaknya turut akan menumpukan kepada pengundi warga emas di DUN berkenaan.
“Kita perlu menasihati mereka supaya turun mengundi dan memastikan mereka tidak salah mengundi kelak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita PBB Jepak, Noriha Ali memberitahu mereka telah menggandakan kempen dari rumah ke rumah.
“Sudah semestinya kita mengharapkan pengundi Jepak untuk keluar mengundi dan membuktikan bahawa kita sebagai golongan wanita juga mahu pembangunan ekonomi dan sosialnya.
“Pada masa sama, kemenangan calon GPS, Iskandar Turkee sangat penting bagi menjamin suara kita didengari di DUN Sarawak,” katanya. -TVS