Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Foto: TVS

Jangan ada unsur ekstremis dalam Minggu Solidariti Palestin KPM – Fadhlina

NIBONG TEBAL, 29 Okt: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap penerapan unsur-unsur ekstremis dan provokasi di sekolah ketika Minggu Solidariti Palestin KPM yang bermula hari ini, Ahad.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihak sekolah sepatutnya menerapkan pemahaman nilai-nilai positif dalam memberi kesedaran kepada murid mengenai nilai keamanan.

“Saya masih membuat penegasan bahawa program ini di semua sekolah adalah digalakkan, namun KPM tidak membenarkan unsur-unsur ekstremisme, radikalisme, keganasan dan penggunaan replika senjata di dalam kawasan sekolah.

“Semua pihak khususnya di bawah KPM diminta memberikan perhatian penuh kepada garis panduan yang telah dikeluarkan dan mana-mana sekolah yang melanggar garis panduan ini akan diambil tindakan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Perlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita), Taman Pekaka, Seberang Perai Selatan di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM sedang melakukan siasatan lanjut berhubung video tular yang memaparkan penerapan elemen keganasan bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin yang didakwa berlaku di sebuah sekolah.

“KPM masih tunggu laporan Jabatan Pendidikan Negeri kerana saya sudah arahkan siasatan mesti menyeluruh dan mesti ada laporan sebelum apa-apa tindakan yang langgar garis panduan.

“Kita mahu aktiviti ini berlangsung dalam suasana yang harmoni mengangkat tema kemanusiaan kedamaian dan keamanan sejagat,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan penggunaan replika senjata dan elemen provokasi bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin yang didakwa berlaku di sebuah sekolah rendah.

KPM dalam satu kenyataan semalam bagaimanapun mengesahkan video terbabit dianjurkan di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin KPM yang berlangsung pada 29 Oktober hingga 3 November depan selain didapati tidak mengikut panduan yang ditetapkan pihak kementerian. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan