JEPAK, 29 Okt: Golongan belia di sini berharap lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan mereka.
Mohd. Zaiful Zulkarnain, 18, berkata, dia mahu melihat Jepak dimajukan seperti Tanjung Kidurong dan Samalaju yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor perindustrian.
“Saya mahu peluang pekerjaan, mungkin kilang boleh dibuka di sini.
“Kalau boleh tidak perlulah mengharapkan buruh luar untuk masuk sebaliknya utamakan kami di Jepak untuk bekerja dan menyara keluarga,” katanya kepada TVS.
Mengikut statistik, golongan belia di Jepak mewakili lebih 49 peratus daripada keseluruhan 22,804 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Sementara itu, seorang lagi belia, Daniel Amsha Mohd. Amirul, 18, juga senada, mahukan lebih banyak peluang pekerjaan di Jepak.
Kata Daniel Amsha, ini bagi mengelakkan golongan belia berhijrah dan menabur bakti di tempat lain.
“Di sini, pekerjaan tidak banyak, jadi persaingan untuk dapatkan kerja memang sengit.
“Mungkin wakil rakyat juga boleh membawa lebih banyak institusi kemahiran di Jepak ini kerana kami berminat dengan pekerjaan yang melibatkan kemahiran,” ujarnya.
PRK DUN Jepak pada Sabtu depan menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee dengan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Joseph Sumbang dan Calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Chieng Lea Phing. – TVS