BINTULU, 29 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan pasukan yang berkemampuan untuk membangunkan Jepak, kata Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.
Sehubungan itu beliau yang juga Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyeru kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak supaya tidak mensia-siakan undi mereka dengan memilih parti yang tidak dapat membawa sebarang pembangunan di sini.
“Kalau kita memilih calon yang lain, seolah-olah membuang undi ke laut. Ini kerana calon berkenaan (sekiranya menang) tidak dapat mengubah struktur pemerintahan di Sarawak untuk membangunkan wilayah ini secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Manifesto GPS Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Kanan PBB, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Sementara itu, Mohamad Asfia berkata, GPS ketika ini mempunyai seramai 75 wakil rakyat dan meningkat semula kepada 76 sekiranya calon ditampilkan mereka, Iskandar Turkee menang pada 4 November depan.
“Beliau bersama 75 ADUN GPS yang lain mampu untuk bersama-sama membangunkan Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Asfia mahu pengundi memberi sokongan padu kepada GPS untuk membawa lebih banyak pembangunan di Jepak.
Sementara itu, Stephen Rundi menyifatkan manifesto GPS sebagai penyambung dan penambahan baharu bagi memastikan pembangunan di Jepak dan akan memanfaatkan penduduk setempat.
“Usaha kita untuk membangunkan Sarawak dilaksanakan secara berterusan.
“Ada yang sudah selesai, ada yang sedang dilaksanakan, jadi kita meneruskan usaha tersebut,” katanya. – TVS