KUCHING, 28 Okt: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu negeri ini mencontohi keazaman pemimpin Britain, Winston Churchill, yang membawa negaranya kepada kemenangan semasa Perang Dunia Kedua dengan melalui peralihan tenaga dari sumber arang batu kepada minyak.
Beliau mendedahkan idea untuk menukar arang batu ke minyak itu telah berlaku seawal 1900.
“Namun, pada tahun 1907, tentera laut di Britain ketika itu tidak menggalakan penggunaan gas kerana kekurangan bekal minyak untuk kapal mereka.
“Pada tahun 1911, Churchill, yang merupakan First Lord of the Admiralty Tentera Laut Diraja Britain, dengan berani mengambil langkah beralih daripada arang kepada gas.
“Di situlah Churchill berjaya melindungi Kerajaan Bersatu daripada kuasa armada Adolf Hitler (Ketua Nazi Jerman) kerana mereka tidak dapat menyeberangi saluran Inggeris kerana Tentera Laut Diraja Britain adalah lebih pantas, fleksibel dan lebih kuat.
“112 tahun kemudian, kita sedang beralih kuasa dari minyak kepada tenaga boleh diperbaharui. Dengan erti lain, Sarawak patut mencontohi Winston Churchill,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu Majlis Makan Malam Anugerah Konvensyen SCISCA sempena sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2023 di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.
Tegas beliau, Sarawak perlu menyesuaikan diri dengan peralihan tenaga boleh diperbaharui agar negeri kekal berdaya saing dalam kedudukannya di rantau Asia.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, serta Menteri dalam Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Setiausaha Tetap Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nazri Mohd Hassan, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Peguam Besar Sarawak, Datuk Saferi Ali. – TVS