Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam anjuran Persatuan Melanau Bintulu di sebuah hotel di sini, hari ini. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS)

Rakyat Sarawak akan nikmati subsidi tiket penerbangan – TPM Fadillah

ByHafeezzur Muzamir

BINTULU, 28 Okt: Rakyat Sarawak akan menikmati subsidi tiket penerbangan ketika menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan butik milik kerajaan negeri, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut beliau kadar tambang yang ditawarkan itu kelak adalah munasabah dan mampu ditanggung oleh para penumpang.

“Rakyat kita banyak yang bekerja dan belajar di luar Sarawak termasuk di Labuan, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Jadi apabila kita mempunyai syarikat kita sendiri, maka kita dapat menawarkan kadar tambang lebih munasabah yang mampu ditanggung oleh rakyat kita dengan Kerajaan Sarawak memberi subsidi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam anjuran Persatuan Melanau Bintulu di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.

Pada Selasa, media tempatan melaporkan Sarawak selangkah mencapai matlamatnya untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik menerusi pengambilalihan MASwings Sdn Bhd melalui Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) pengambilalihan saham yang dimeterai Kementerian Pengangkutan Sarawak, Hornbill Skyways Sdn Bhd dan Malaysian Aviation Group (MAG).

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan cadangan untuk membina landasan kereta api yang menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Indonesia, Fadillah berkata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah diberi tanggungjawab untuk memperincikan kajian mengenai cadangan itu.

“Beliau diberi amanah untuk memperincikan perkara itu. Laluan kereta api itu menghubungkan Sarawak, Brunei, Indonesia dan Sabah.

“Ini bermakna Borneo akan dihubungkan secara keseluruhan. Tiada tempoh masa ditetapkan untuk pelaksanaannya kerana ini melibatkan tiga negara dan ia bukan mudah, tetapi hasrat kita memang ke arah itu secepat mungkin,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan bersetuju mempertimbangkan cadangan Sarawak untuk membina landasan Kereta Api Trans-Borneo.

Selain itu, Fadillah turut memaklumkan penyerahan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak sudah dipersetujui secara prinsip dan sedang dalam proses rundingan bagi menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan