SANTUBONG, 28 Okt: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) komited melaksanakan tiga pemboleh ubah utama dalam pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata tiga pemboleh ubah itu merangkumi tranformasi digital, utiliti dan tenaga boleh diperbaharui yang menjadi perkara penting dalam sektor yang sedang dibangunkan.
Komitmen itu katanya sedang giat dilaksanakan melibatkan kementerian serta jabatan dan agensi di bawahnya dalam menyediakan infrastruktur telekomunikasi di seluruh Sarawak.
“Di antara tujuh pemboleh ubah itu ialah transformasi digital yang melibatkan infrastruktur telekomunikasi yang perlu kita perluaskan di seluruh Sarawak.
“Ini secara langsung melibatkan peranan kita untuk membantu menyelaras dan menyediakan tranformasi digital ini akan membolehkan liputan jalur lebar atau internet secara menyeluruh di seluruh Sarawak, ini yang menjadi tanggungjawab dan tugas yang mencabar kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Integriti Tahun 2023 peringkat kementeriannya di pusat peranginan Damai Lagoon Resort di Santubong di sini pada Sabtu.
Manakala dua lagi pemboleh ubah yang berkait rapat dengan MUT katanya termasuk bekalan air, elektrik, aliran gas serta agihan tenaga boleh diperbaharui.
Dengan tugas yang mencabar serta tanggungjawab besar itu, beliau yakin warga kementerian dan jabatan serta agensi di bawahnya mampu menggalas peranan dengan komited dan efisien.
“Walaupun agak berat tanggungjawab ini, kita tidak harus lupa kepada panduan dan segala peraturan yang telah ditetapkan dalam kita memastikan tugas dan amanah yang diberikan.
“Supaya ia dapat dilaksanakan dengan berkesan sekali gus menyumbang dan memberi impak secara langsung kepada kejayaan mencapai sasaran PCDS 2030,” katanya. -TVS