KUCHING, 28 Okt: Masyarakat di Baram berminat untuk turut serta dalam projek empangan melata, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Khabar baik itu menurut beliau setelah menerima surat daripada masyarakat Baram untuk melaksanakan projek membina empangan elektrik hidro bertingkat atau melata tersebut di Sungai Tutoh.
“Ketika kita membincangkan projek tersebut, pada mulanya, ia menerima banyak kritikan. Tetapi sekarang, saya terkejut bahawa mereka membuat permintaan untuk projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu Majlis Makan Malam Anugerah Konvensyen SCISCA sempena sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2023 di Pullman Hotel pada Jumaat.
Dalam pada itu Abang Johari mendedahkan perkembangan rangkaian jalan raya di seluruh negeri telah merubah wajah Sarawak sekali gus menjadikan sungai bukan lagi laluan pengangkutan utama.
Hal ini kata beliau telah mengakibatkan peningkatan jumlah buaya dan konflik antara manusia dan buaya.
Sehubungan itu Abang Johari menyatakan bahawa pembinaan empangan melata ini akan membantu mengawal pembiakan buaya secara berlebihan.
“Terdapat banyak faedah dengan pembinaan empangan melata ini, kita akan mendapat banyak ikan dan mengurangkan populasi buaya, selain penjanaan tenaga.
“Ini hanya untuk satu empangan di satu sungai. Dalam satu sungai, kita boleh membina lima atau enam tahap empangan dan setiap tahap boleh menjana 100 watt tenaga,” jelas beliau. – TVS