BINTULU, 28 Okt: Malaysia memerlukan sekurang-kurangya 3,200 metrik tan biji koko kering setahun bagi menampung keperluan dalam negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, jumlah pengeluaran sedia ada disifatkan masih belum mencukupi memandangkan berlakunya pertambahan perusahaan yang menghasilkan coklat di dalam negara.
“Mereka yang menghasilkan coklat semakin hari bertambah banyak, tetapi bekalan koko dalam negara semakin kurang, jadi mereka kena import dari benua afrika. Ini menunjukkan potensi terhadap permintaan untuk biji koko kering semakin meningkat.
“Benih memang sudah ada diberi oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM), sekarang ini kita perlu cari mereka yang berminat untuk menanamnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Roadshow Tanaman Koko dan Demonstrasi Coklat Buatan Tangan di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kementeriannya telah merangka skim galakkan yang mengfokuskan penanaman koko melibatkan komuniti di kawasan kampung.
“Apa yang kita lakukan sekarang ini ialah dengan menggalakkan penanaman koko di peringkat komuniti seperti di kampung kerana mereka mempunyai tanah yang boleh diusahakan.
“Apabila koperasi sudah ditubuhkan, mereka akan mengutip tanaman koko untuk diproses dan dijual dengan bantuan LKM,” katanya.
Untuk rekod, pada 2022, Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 493 tan metrik biji koko kering. – TVS