Kuching, 28 Okt: Petronas sekali lagi mewarnai temasya Sarawak Regatta dan International Dragon Boat Race 2023 kali ini dengan menjadi antara pemain industri utama dalam menjayakan acara tahunan negeri ini.
Pengurus Kanan Petronas Sarawak, Norazibah M. Rabu berkata selain menjadi penaja emas tahun ini, Petronas juga membawakan kelainan di tapak pameran mereka sebagai usaha mencetus minat orang ramai untuk mendalami ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutamanya dalam kalangan golongan muda.
“Kita sudah menaja acara ini sejak tahun 2015 dan beberapa tahun lalu kita telah memperbanyakkan lagi penglibatan Petronas dalam acara-acara yang boleh mendekatkan lagi Petronas bersama komuniti setempat.
“Di pameran kali ini kita ingin menjemput orang ramai datang kerana pasukan Petro Sains kami turun padang untuk berinteraksi bersama dengan anak-anak muda dan kita juga mempunyai barangan terhad yang hanya boleh didapatkan semasa acara ini berlangsung,” kata beliau ketika ditemu bual TVS pada Sabtu.
Sebagai anak Sarawak, Norazibah mengakui acara Regatta mempunyai tempat istimewa dalam dirinya kerana menghadiri acara ini merupakan tradisi tahunan bersama keluarga.
“Masa kecil dahulu, sangat teruja untuk menonton ‘lombak perauk’ di Kuching Waterfront tetapi bila sudah dewasa ini, kita mahu gunakan acara ini sebagai platform untuk mendekatkan dan mengukuhkan identiti Petronas bersama rakyat.
“Seperti sedia maklum, Sarawak Regatta sudah diadakan sejak 150 tahun lalu.
“Oleh itu, Petronas mahu bersama-sama menjayakan acara ini selagi peluang diberikan,” ujar beliau.
Dalam masa sama, kata beliau Petronas terus memperkasa komuniti setempat terutama sekali di kawasan pedalaman dengan memberikan akses pendidikan kepada golongan ini.
Anak-anak muda di luar bandar menurut Norazibah boleh meningkatkan kualiti hidup keluarga masing-masing yang baik apabila mereka berjaya di menara gading.
“Kami di Petronas banyak mengadakan program sosial berimpak tinggi dan ia tidak terhad kepada kawasan-kawasan operasi Petronas sahaja.
“Saya sendiri datang dari keluarga yang kurang berkemampuan tetapi melalui pelbagai program biasiswa pendidikan Petronas, jadi saya sarankan kepada anak muda kita untuk rebut peluang ini,” katanya lagi. – TVS