BINTULU, 28 Okt: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM4 bilion untuk menyediakan bekalan air dan lebih RM2.7 bilion untuk bekalan elektrik ke seluruh Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata peruntukan tersebut disalurkan susulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada lima tahun lalu di peringkat persekutuan membuat keputusan tidak menyalurkan sebarang peruntukan kepada Sarawak.
“Walhal peruntukan untuk diberikan bagi memastikan bekalan air dan elektrik terjamin sudah ada tetapi mereka tidak menyalurkan kepada kita.
“Sehubungan itu, Premier Sarawak terpaksa mencari jalan walaupun terpaksa mengheret Petronas ke mahkamah bagi menuntut pembayaran cukai jualan ke atas produk petrol dan akhirnya keputusan mahkamah menyebelahi kita.
“Hasil daripada itu, kita dapat menyalurkan peruntukan untuk bekalan air khususnya di kawasan luar bandar adalah RM4 bilion dan bekalan elektrik pula adalah lebih RM2.7 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Sembang Santai Bersama Pemimpin di Rh. Saong, Sungai Kemena, Jalan Kuala Tatau-Balingian di sini hari ini.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus dan calon GPS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak Iskandar Turkee.
Menurut Awang Tengah lagi kerajaan negeri juga akan berusaha untuk melaksanakan projek-projek yang didambakan rakyat secara berfasa.
Dalam perkembangan lain, Awang Tengah menyeru penduduk setempat untuk mengundi GPS agar mereka dapat menikmati peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) selepas ini.
“Jika anda mengundi Parti Asiprasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) atau Parti Bumi Kenyalang (PBK), mereka tidak boleh buat apa-apa kerana peruntukan MRP dan RTP tidak ada dan kalau anda menyokong GPS, mereka masing-masing akan menerima peruntukan sebanyak RM2 juta dan RM5 juta setiap tahun.
“Bukan itu sahaja, peruntukan membaik pulih rumah disalur sebanyak RM1 juta setahun serta akan meneruskan Skim Pinjaman Rumah Panjang dan ini adalah memberi manfaat yang besar kepada penduduk-penduduk setempat,” ujarnya.
Oleh itu, beliau menyeru penduduk setempat untuk terus menyokong GPS serta memberi kemenangan besar kepada calon GPS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak pdaa 4 Nov ini.- TVS