KUCHING, 28 Okt: Karnival Kejiranan Mesra (KJM) akan terus menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang harmoni, kata Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak itu menyifatkan program yang telah dianjurkan lebih dua dekad itu juga dipercayai telah berjaya membentuk masyarakat yang berdisiplin dan mementingkan kejiranan yang mesra.
Menurutnya karnival berkenaan akan terus memberi perhatian dalam memastikan golongan belia dan anak muda menjalankan aktiviti berfaedah untuk mengisi masa lapang mereka.
Inisiatif sedemikian penting katanya dalam usaha mereka tidak terpengaruh dengan kehidupan atau gaya hidup yang negatif sehingga terjebak dalam pelbagai gejala sosial.
Jelasnya lagi, tugas masyarakat yang lebih dewasa turut sama penting dalam menjadi pemimpin kepada golongan tersebut dengan menyediakan lebih banyak aktiviti-aktiviti positif kepada mereka.
“Jadi semua itu semata mata untuk kita gunakan bagi memenuhi masa anak-anak muda kita.
“Seperti yang sedia maklum bahawa satu ketika dulu kita khuatir kita rasa agak susah hati berkenaan pengaruh negatif dalam kalangan generasi muda.
“Oleh itu, disarankan supaya kita dapat membantu anak-anak muda kita menghadapi ataupun mengharungi kehidupan zaman muda kita dengan kegiatan yang positif.
“Jadi tugas kita sebagai pemimpin, kita perlu memberikan aktiviti yang baik untuk mengisi masa kosong dari pagi sampai petang sehingga malam dengan kegiatan aktiviti yang positif dan memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata demikian pada Majlis Penangguhan Karnival Kejiranan Mesra (KJM) 2023 di Kuching pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar semua lapisan masyarakat memberikan kerjasama kepada pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk memastikan kawasan tersebut mampu menjadi sebuah bandaraya yang cantik, bersih serta mementingkan perpaduan.
Ia juga sekali gus katanya akan menjadikan usaha dan kerjasama yang cemerlang dari semua pihak sebagai satu kebanggaan warga kota kuching yang menetap di kawasan setempat.
“Marilah kita bersama sama berganding bahu dengan pentadbiran DBKU untuk menjadikan Bandaraya Kuching khasnya Bandaraya Kuching Utara sebagai sebuah bandaraya yang cantik, bersih dan mementingkan perpaduan.
“Seterusnya, kita sebagai warga kota Kuching rasa bangga menjadi warga sebuah bandaraya yang cemerlang di Malaysia,” ujarnya.