KUCHING, 28 Okt: Lagu ‘Lemak Manis’ membawa tuah kepada Adam Mikhail Ronny Harry yang dinobatkan juara pertandingan Final Kids Talent Night 2023 di Tebingan Kuching semalam.
Menurut Adam, dirinya tidak menyangka bahawa persembahannya itu berjaya memenangi hati para hakim sekali gus menundukkan 10 peserta yang lain.
@tvstvmy Adam Mikhail Ronny Harry juara Kids Talent Show 2023. Layari tvstv.my/news & tonton TVS Saluran 122 MYTV, Unifi TV & Astro. #TVS122 #TVSNews #beritaditiktok #trendingnewsmalaysia
Adam memberitahu rahsia kemenangannya adalah dengan mengadakan latihan selama seminggu sebelum bertanding.
“Saya tak sangka akan menang malam ini,” katanya ketika ditemui TVS pada Jumaat.
Sementara, ibu Adam, Nur Hijrah Syahida Ismaily berkata anaknya menyertai pertandingan tersebut atas kerelaannya sendiri yang meminati bidang seni.
“Saya mula mengesan bakatnya untuk menyanyi sejak dia berumur lima tahun. Saya terjumpa poster untuk pertandingan ini dan dia pun berminat untuk menyertai.
“Segala aspek persembahan dari segi pemilihan lagu dan pergerakan semasa persembahan adalah hasil pemikiran saya dan suami saya,” ujarnya.
Kemenangan Adam melayakkannya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 500 berserta trofi.
Pertandingan berkenaan diadakan bersempena Sarawak Regatta Kuching Waterfront Festival yang diadakan di Tebingan Kuching dari 27 Oktober hingga 5 November.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh adik Syarif Zakwan Suhardi manakala tempat ketiga oleh adik Muhammad Qayyum Hakimi. – TVS