KUCHING, 28 Okt: Anugerah Carta Lagu Bidayuh (ACLB) Edisi Ke-9 menjadi pemangkin kepada penyatuan masyarakat Bidayuh di samping memartabatkan industri muzik Bidayuh, kata Dato Sri Richard Riot Jaem.
Penaung Utama ACLB Edisi Ke-9 itu berharap agar masyarakat Bidayuh memberi sokongan yang berterusan kepada artis Bidayuh untuk bergerak seiring dengan peredaran zaman.
“Kita jadikan juga muzik sebagai ejen penyatuan semua tanpa mengira bangsa dan peringkat umur,” katanya.
Ahli Parlimen Serian itu berkata demikian ketika berucap sempena ACLB Edisi Ke-9 di pekarangan RTM Kuching pada malam Jumaat.
ACLB Edisi ke-9 menyaksikan seramai 10 finalis telah dipilih iaitu tujuh finalis solo dan tiga lagi finalis berkumpulan beradu suara.
‘Manuk Bauh’ nyanyian kumpulan Acid Rain muncul juara ACLB Edisi ke-9 sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi.
Sementara tempat kedua dimenangi oleh lagu ‘Bukang’ nyayian Mezzadove dengan wang tunai RM3,000 dan trofi sekali gus memenangi anugerah vokal terbaik dengan wang tunai RM1,000 beserta trofi.
Tempat ketiga pula disandang oleh lagu ‘Cinta Da Jinaga’ nyanyian Jimmy Will dan Wendy Eva dengan habuan RM2,000 beserta trofi manakala anguerah lagu paling popular dimenangi oleh ‘Indi Kirasah Intan’ nyanyian Jackson Boson memperoleh RM1,000 beserta trofi.
Di samping itu, finalis lain turut menerima hadiah sagu hati berjumlah RM1,000 beserta trofi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia. – TVS