KUCHING, 27 Okt: Pulangan pelaburan yang lumayan menyebabkan seorang suri rumah di Sarikei terpedaya dengan tipu helah individu yang mendakwa ejen pelaburan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata wanita berusia lewat 60-an itu kerugian RM540,000 setelah memindahkan wang berkenaan ke tiga akaun bank berbeza menerusi 11 transaksi.
Menurutnya, pada 2 Oktober mangsa terlihat iklan tentang pelaburan di media sosial disusuli dengan menghubungi suspek menerusi WhatsApp kerana berminat untuk mengetahui lebih lanjut.
“Mangsa kemudian diterangkan tentang pelaburan tersebut dan suspek menawarkan diri sebagai ejen untuk membantu mangsa dalam pembelian saham syarikat.
“Mangsa dijanjikan pulangan dari 50 sehingga 100 peratus dalam pelaburan saham ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Wanita berkenaan menyedari telah ditipu apabila suspek meminta mangsa membuat pembayaran tambahan sedangkan mangsa belum menerima apa-apa pulangan keuntungan.
Mangsa membuat laporan polis pada 26 Oktober.
Azman menasihatkan orang ramai agar hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.
Beliau turut menasihatkan agar tidak menekan pautan atau memuat turun ‘android package kit’ (APK) yang tidak diketahui kesahihannya.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai pada sesuatu pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh masa singkat,” katanya. – TVS