KUCHING, 27 Okt: Sarawak selangkah mencapai matlamatnya untuk mengambil alih MASwings Sdn Bhd melalui Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) pengambilalihan saham yang dimeterai hari ini.
MoU berkenaan telah ditandatangani Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pengangkutan Sarawak, Hornbill Skyways Sdn Bhd dan Malaysian Aviation Group (MAG).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pengambilan MASwings bertepatan dalam usahanya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penerbangan luar bandar di kedua wilayah Borneo tersebut.
“Kita tidak boleh begitu menekankan kepada keuntungan semata-mata. Cukup sekadar untuk menampung perbelanjaan kos namun kita harus juga mengambil kira keuntungan tidak ketara.
“Meskipun penubuhannya bukan bersifat keuntungan, matlamat kita demi membantu rakyat amat jelas,” katanya ketika berucap dalam majlis hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari juga memberitahu bahawa syarikat penerbangan butik milik Sarawak berkenaan akan menyediakan perkhidmatan meliputi rantau Asia.
“Apabila kita ambil alih MASwings, ia juga mesti terbang ke luar kawasan Borneo seperti Korea, Hong Kong, India malahan kawasan utara Australia.
“Syarikat penerbangan kita mungkin berskala kecil sahaja tetapi ia akan mempunyai jaringan dengan hab pengangkutan udara di negara lain, justeru menjadikan Kuching salah satu daripada hab berkenaan,” katanya.
Tambahnya, model perniagaan syarikat penerbangan butik itu tidak akan memerlukan banyak kapal terbang untuk beroperasi.
“Model ini berbeza dengan model perniagaan lain – yang penting, kapal terbang itu sentiasa bergerak. Jika tidak ia akan mendatangkan kerugian,” ujarnya.
Terdahulu, Kerajaan Sarawak juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan Persekutuan pada 20 Julai 2023 mengenai pengambilalihan perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah itu.
Pada Jun, kerajaan Sarawak telah bersetuju secara prinsip untuk mengambil alih MASwings sebagai entiti penerbangan baharu miliknya.
Ia susulan hasil maklum balas Putrajaya kepada kerajaan Sarawak yang mengemukakan cadangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butiknya sendiri. -TVS