BINTULU, 27 Okt: Peluang perniagaan di kawasan Jepak terbuka luas untuk golongan wanita, lebih-lebih lagi apabila pembangunan di bandar ini kian rancak.
Seorang penduduk, Hidayah Waini Osman, berkata lokasi Kampung Jepak adalah strategik di antara Lapangan Terbang Bintulu dan bandar Bintulu setelah Jambatan Bintulu-Jepak siap.
“Ramai golongan wanita dan beliawanis melakukan aktiviti kecil-kecilan dan menyertai kursus-kursus jangka pendek seperti membuat pastri dan kek serta pembuatan belacan.
“Sebab itu, saya rasa apabila Jambatan Bintulu-Jepak akan siap kelak, saya yakin Kampung Jepak ini akan mempunyai tumpuan pelancong yang akan meningkatkan lagi ekonomi setempat,” katanya ketika ditemui TVS.
Selain itu, kuih tradisional juga dianggap sebagai produk yang boleh dikomersialkan, terutamanya semasa bulan Ramadan.
Selain daripada pembuatan kuih, Siti Sunarti Waini Osman, Ahli JKKK Kampung Sungai Sebuan Besar mencadangkan membuka kilang bagi menghasilkan produk berasaskan ikan.
“Kampung Jepak ini berdekatan dengan Sungai Kemena dan sehubungan itu berlakunya aktiviti pemerdagangan berasaskan makanan laut seperti ikan, udang dan sebagainya dan bila adanya sumber seperti ini, saya merasakan perlunya sebuah kilang pemprosesan untuk membuat keropok ikan,” ujarnya.
Namun, beliau tidak mahu hasil jualan itu hanya boleh didapati semasa bulan Ramadan sahaja dan sehubungan itu, perlu mempunyai sebuah pusat niaga untuk terus jana pendapatan dengan berpanjangan.
Senada dengan seorang suri rumah, Hazina Seni, mahu sebuah tapak jualan dibuka bagi memberi peluang kepada wanita meningkatkan pendapatan mereka.
“Sudah tentunya dengan adanya pusat niaga kelak, kawasan Kampung Jepak ini akan menjadi tumpuan pelancong.
“Akan tetapi perlunya wakil rakyat berusaha membuka sebuah stesen minyak kerana paling dekat untuk kami membeli minyak adalah Petronas di Sebiew atau Kemena yang jaraknya adalah kira-kira 20 minit dari kampung kami.
“Bukan itu sahaja, rata-rata penduduk di sini masih menggunakan wang tunai sebagai pilihan cara pembayaran dan sehubungan itu, perlunya sebuah ATM di sini untuk memudahkan urusan niaga kami,” harapnya. – TVS