KUCHING, 27 Oktober: Sektor tenaga boleh diperbaharui bukan lagi asing buat Sarawak dan negeri ini dijangka melangkah setapak lagi ke hadapan melalui penghasilan tenaga menggunakan kayu palet.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata ia tidak lagi mustahil kerana Sarawak ketika ini sudah mengeksport kayu palet ke Eropah yang digunakan atas tujuan sama.
“Sebenarnya kita sudah mengeksport kayu palet dari Sarawak ke Eropah untuk digunakan di kilang-kilang penjana tenaga elektrik dan ini merupakan tenaga hijau.
“Ia bukan dari nuklear, arang atau minyak dan gas. Insya-Allah kalau kita mempunyai perancangan yang baik di masa depan kita juga boleh menggunakan sumber kayu-kayu palet ini untuk menghasilkan tenaga hijau di Sarawak,” katanya dalam program temubual Dialog TVS pada Khamis.
September lepas, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak sedang mengkaji penggunaan kayu palet sebagai pengeluaran tenaga boleh diperbaharui seperti yang digunakan di United Kingdom sehingga dapat menghasilkan 2,500 megawatt tenaga.
Malah katanya, Sarawak juga boleh menjadi pembekal kepada kayu palet tersebut dengan usaha penanaman pokok yang cepat tumbuh di hutan wilayah ini. – TVS