KOTA SAMARAHAN, 26 Okt: Penubuhan satu badan khas untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) wajar dipertimbangkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak itu berkata, penubuhan badan tersebut berupaya menjadi platform menyuarakan keperluan pelajar khas ini seiring dengan peningkatan jumlah pelajar OKU di universiti itu.
“Penubuhan satu badan akan menjadi suara bagi pelajar berkeperluan khas ini boleh didengari, daripada segi luahan hati mereka bukan sahaja didengar tetapi keperluan mereka boleh dipenuhi.
“Inilah kepentingan badan itu nanti, yang pihak universiti boleh pertimbangkan,” beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan di Kolej Cempaka, UNIMAS, pada hari ini.
Katanya lagi, penubuhan badan tersebut juga mampu menjadi jambatan perhubungan yang rapat antara pelajar berkeperluan khas dengan pihak universiti.
“Pelajar OKU ini pelbagai, sudah tentu sekali daripada segi keperluan mereka juga pelbagai. Jika boleh membentukkan satu badan, ia dapat mewakili pelajar yang berkeperluan ini,” katanya.
Ke arah penubuhannya, Fatimah melihat ia merupakan satu usaha menjadikan UNIMAS sebagai sebuah universiti mesra kepada golongan OKU.
Sementara itu, lawatan kerja tersebut turut mencari bakat dalam kalangan pelajar OKU bagi Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024.
Untuk rekod, seramai 67 orang pelajar OKU telah berdaftar di UNIMAS pada tahun ini iaitu 40 orang pelajar lelaki dan 27 orang pelajar perempuan yang mengambil bidang di peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. – TVS