JEPAK, 26 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) optimis mampu menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dengan meraih majoriti yang lebih besar berbanding keputusan Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Keyakinan itu disuarakan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai yang menyifatkan tempoh enam hari kempen GPS telah menunjukkan momentum yang memberangsangkan.
“Hampir seminggu kita berkempen menunjukkan keadaan yang sangat baik. Saya amat berpuas hati dan saya fikir tiada masalah bagi calon GPS Iskandar Turkee meraih majoriti besar, berbelas ribu (undi).
“Ini kerana kerjasama yang sangat baik antara parti komponen dalam GPS pada PRK ini,” katanya ditemui ketika mengiringi Iskandar pada program kempen di Rumah Panjang Sam Sumbang, Sungai Mas, Jalan Bintulu-Tatau, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Jepak harus terus kekal diwakili GPS bagi memastikan pembangunan yang dirancang dapat diteruskan.
“Bintulu adalah nadi ekonomi di Sarawak dengan menyumbang 40 peratus pendapatan kepada Sarawak.
“Disebabkan itu kami semua datang ke sini untuk mempertahankan kerusi DUN Jepak bagi memastikan legasi yang ditinggalkan mantan ADUN, Datuk Talib Zulpilip dapat dikekalkan,” katanya.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon GPS dengan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) Chieng Lea Phing. – TVS