JEPAK, 26 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) optimis berjaya memperoleh sokongan pengundi belia pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada 4 November ini.
Berbaki kurang daripada sembilan hari sebelum tempoh kempen berakhir, calon GPS, Iskandar Turkee berkata, jentera kempennya siap siaga dengan strategi bagi memenangi hati pengundi terutama dalam kalangan belia.
“Berdasarkan strategi-strategi yang telah dirancang oleh GPS, kita rasa kita boleh capai sasaran tersebut yang penting kita menggunakan pelbagai cara dan strategi bagi mendekati golongan belia ini, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Program Walkabout di Pasar Tamu, Bintulu, di sini, pagi ini.
Turut mengiringi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming dan ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon.
Mengakui penglibatan golongan belia dilihat kurang dalam program kempennya, Iskandar mendedahkan beberapa program khas telahpun disusun atur untuk mereka itu dalam masa terdekat ini.
“Pihak GPS dan komponen parti telah mengenal pasti program bagi mendekati golongan belia untuk turun mengundi, nanti kita akan kongsi dengan pihak media.
“Kita dah kenal pasti golongan sasar dan kita akan bersama-sama mereka menerusi program yang pengisiannya mengfokuskan kepentingan untuk turun mengundi,” jelasnya.
Untuk rekod, lebih 49 peratus daripada 22,804 pengundi dalam PRK DUN Jepak adalah dalam kalangan belia.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon GPS dengan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) Chieng Lea Phing.- TVS