Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari menerima cenderamata dari Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS Prof Dr Ambigapathy Pandian semasa Majlis Penutupan PALBORNEO di Kota Samarahan, hari ini. Foto: TVS.

DBP sokong saranan Sarawak jadikan PALBORNEO pertemuan berkala

KOTA SAMARAHAN, 26 Okt: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong saranan Sarawak untuk menjadikan Persidangan Antarabangsa Leksikologi dan Leksikografi Borneo (PALBORNEO) sebagai pertemuan berkala.

Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari berkata saranan itu dibuat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam.

“Saya amat menyokong saranan Abang Johari dalam ucapan beliau semalam yang mahukan PALBORNEO dijadikan pertemuan berkala,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan PALBORNEO 2023 di Kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.

Hazami berkata penerbitan Kamus Melayu Sarawak-Melayu Dewan semalam juga merupakan satu kejayaan dan sejarah buat DBP dalam memperkayakan khazanah dokumentasi penyelidikan bahasa sukuan di negeri ini.

“Mungkin boleh juga untuk dipertimbangkan agar PALBORNEO ini dimasukkan sebagai aktiviti dalam kerjasama Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM),” katanya.

Hazami berkata kepelbagaian bahasa peribumi yang terdapat di pulau Borneo sangat menarik dan wajar digunakan serta disebarkan dalam kehidupan masyarakat bagi memperkaya dan memperkasakan bahasa.

“Perkataan jerayawara, ruai, randau, merarau misalnya merupakan kata yang berasal dari bahasa sukuan etnik di Sabah dan Sarawak yang kini telah menjadi sebahagian daripada kosa kata Bahasa Melayu dan melata penggunaannya,” katanya.

Menurutnya bersesuaian dengan tema persidangan itu iaitu “Pelestarian Bahasa Peribumi Borneo”, satu daripada usaha yang dilakukan oleh DBP ialah untuk mendokumentasi bahasa peribumi.

Beliau berkata usaha itu dilaksanakan menerusi antara lain penyelidikan bahasa dan penyusunan kamus agar bahasa etnik di Sabah dan Sarawak dapat terus dipertahankan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan