KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memperoleh suntikan semangat tambahan setelah tampil sebagai antara penerima tajaan terbesar berjumlah RM5 juta dari konglomerat terkemuka, Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata).
Kerjasama untuk tiga tahun sehingga tahun 2025 itu akan memberi fokus kepada kejurulatihan dan pembangunan akar umbi bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu di masa akan datang.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya amat menghargai kerjasama ini dan tajaan berkenaan bakal membolehkan persatuan melangkah lebih jauh lagi terutama membangunkan atlet.
Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Cahya Mata, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, pihaknya berharap tajaan disalurkan dapat membantu KOM bagi tujuan berkenaan.
“Belia adalah barisan pelapis untuk kita memajukan sukan ini.
“Saya juga dimaklumkan KOM sudah melakukan program untuk mengenalpasti kanak-kanak kecil kerana kita perlu mendapatkan pelapis yang cenderung dan juga mendapatkan kerjasama daripada ibubapa mereka,” katanya kepada TVS pada Rabu.
Beliau dalam pada itu percaya sumbangan berkenaan dapat membantu KOM dalam melaksanakan visi dan tujuan untuk memupuk dan meningkatkan atlet terutama Sarawak kerana ramai atlet kelahiran negeri itu sudah memberikan pengiktirafan tinggi kepada sukan olahraga negara. -TVS