BINTULU, 25 Okt: Projek menara telekomunikasi di bawah Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) yang dibangunkan di beberapa kawasan luar bandar di bahagian ini akan meningkatkan lagi jaringan telekomunikasi di kawasan luar bandar itu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata pembinaan itu juga akan membolehkan syarikat penyedia perkhidmatan seperti CelcomDigi, Maxis, U-mobile, TM Unifi dan YTL digunakan apabila ia siap kelak.
“Menara SMART di Sungai Segan dan Sungai Silas, Bintulu berketinggian 76 meter akan memberi perkhidmatan Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) dan Multi Operator Core Network (MOCN).
“Antara rumah panjang yang akan mendapat kemudahan perkhidmatan tersebut apabila siap kelak ialah Rh Sanggau, Rh Libon, Rh Atan dan rumah di sepanjang Jalan Ulu Sebauh,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak menara SMART di sini, semalam.
Menurut Julaihi lagi menara SMART adalah salah satu dari komponen program SALURAN yang diusahakan oleh kerajaan Sarawak melaui agensinya Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) di kawasan luar bandar.
“Usaha SDEC ini adalah program intervensi kerajaan Sarawak untuk menambah dan mempercepatkan liputan jalur lebar yang diusahakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui agensinya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang melaksanakan program JENDELA. – TVS