SIBU, 25 Okt: Aksi kejar-mengejar dua kumpulan yang bergaduh dipercayai kerana hutang telah mengorbankan nyawa seorang penunggang motosikal warga emas di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata pergaduhan dua kumpulan bersenjata di Lorong Wong King Hou itu bermula dengan aksi kejar mengejar sehinggalah sebuah kenderaan digunakan mereka melanggar sebuah motosikal di Jalan Alan.
Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai pergaduhan pada 6.45 petang dan anggotanya bergegas ke lokasi.
“Sampai di tempat kejadian, mendapati lima lelaki warga tempatan yang berumur lingkungan 17 tahun hingga 30 tahun sedang bergaduh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Polis menangkap semua suspek dan merampas dua kenderaan digunakan serta dua bilah senjata jenis Kwantao dan sebatang rotan.
Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa balik ke Balai Polis Sentral Sibu dan ditahan reman polis selama tiga hari sehingga 27 Oktober bagi membantu siasatan.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek postif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin, Benzo dan MOP, katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kemalangan dan meyebabkan kematian, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.
“Pihak polis menyeru kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi berhubung kejadian kerana kes ini hanya melibatkan tuntutan hutang antara kedua-dua pihak.
“Pihak polis memandang serius kejadian seumpama ini dan akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang terhadap mana-mana individu yang menimbulkan kekacauan dan mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya. – TVS