Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Rosey Yunus mewakili Premier Sarawak di Majlis Pelancaran PALBORNEO 2023 di UNIMAS pada Rabu. Foto: Yusuf Shukri (TVS)

Kamus Dialek Bahasa Sarawak himpun 13,000 perkataan

ByYusuf Shukri

KUCHING, 25 Okt: Kerjasama erat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pihak berkepentingan berjaya menerbitkan Kamus Dialek Melayu Sarawak – Melayu Dewan.

Inisiatif ini bagi memartabatkan serta memperkenalkan dialek tempatan kepada orang ramai selain memuliharanya agar tidak pupus ditelan zaman.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kamus ini dapat dijadikan rujukan rasmi dan ilmiah.

“Ia boleh dimanfaatkan khususnya oleh generasi masa kini serta pengkaji bahasa untuk mendalami kosa kata Melayu Sarawak.

“Sebab itu saya mahu inisiatif seperti Persidangan Antarabangsa Leksikologi dan Leksigografi Borneo (PALBORNEO) ini diteruskan bagi membicarakan aspek-aspek bahasa yang menunjangi peradaban dan pemikiran manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus.

Sementara itu, Abang Johari turut menyuarakan kebimbangan berhubung beberapa dialek tempatan yang berada ‘di ambang kepupusan’ seperti bahasa Miriek, Kelabit, Punan, Kiput, Narom dan Selakau.

“Oleh yang demikian, perancangan teliti harus dilakukan kerana bahasa adalah sebahagian daripada khazanah negara yang boleh lenyap jika ia tidak dipraktikkan dan tidak didokumentasikan,” tambah beliau.

Setakat ini, DBP telah berjaya menerbitkan beberapa kamus dialek tempatan Sarawak termasuk Kamus Iban-Melayu Dewan, Kamus Melanau Mukah-Melayu Dewan dan Kamus Bahasa Vaie-Bahasa Melayu.

Sementara itu Abang Johari berkata, kamus bahasa sukuan ini turut menyumbang ke arah penggayaan bahasa kebanggsaan terutamanya untuk mencari padanan yang sesuai dengan konsep-konsep baharu yang timbul.

“Saya berasa amat bangga apabila beberapa dialek Sarawak telah diserap ke dalam bahasa Melayu, misalnya kata ‘jerayawara’ yang terhasil daripada gabungan perkataan jeraya (jalan) dan wara yang bermaksud pertunjukan atau sandiwara,” tambah Abang Johari.

Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Dr. Dilah Tuah adalah antara penyunting yang terlibat dalam penerbitan Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan. Foto: Yusuf Shukri (TVS)

Sementara itu, salah seorang penyunting Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan, Dr Dilah Tuah berkata, perkara yang paling mencabar dalam menghasilkan kamus tersebut adalah rasionalisasi perkataan untuk menggubah ayat.

“Kamus ini lengkap dengan contoh ayat. Penggubahan ayat sememangnya sukar kerana kita hendak padankan ayat dengan situasi sebenar.

“Satu lagi cabaran yang kami hadapi adalah dalam memastikan sama ada sesuatu perkataan itu adalah dialek Sarawak atau bahasa baku. Alhamdulillah hari ini kita berjaya menghasilkan kamus yang sangat diperlukan ini,” tambah beliau.

Dilah yang juga Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengakui kamus ini tidak sempurna.

“Bahasa adalah sesuatu yang dinamik, ia akan selalu bertambah dengan perkembangan semasa, seperti sekarang kita mempunyai banyak perkataan yang dipinjam daripada bahasa Inggeris dengan adanya media sosial.

“Oleh itu, kamus ini akan sentiasa dikemaskini dari masa ke masa,” tambah Dilah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan