KUCHING, 25 Okt: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) digesa untuk mengkaji sungai sebagai jalan alternatif pengangkutan barang di wilayah ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kemajuan perhubungan jalan raya seperti di Sibu dan Kapit kini telah menyebabkan banyak dermaga di Sarawak menjadi ‘lengang’.
“Kita ada banyak dermaga yang tidak digunakan seperti sebelumnya.
“Dahulu memang bot ekspress (digunakan secara meluas) namun sekarang jalan raya menjadi pilihan.
“(Oleh itu kita perlu melihat kesesuaian) dengan menggalakkan mereka menggunakan sungai sebagai pengangkutan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Ulang Tahun LSS ke-30 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kim Shin berkata, langkah itu juga bertujuan untuk mengatasi isu jalan raya yang kerap rosak.
“Kita harus mencari pendekatan baharu bagi menggalakkan kenderaan yang membawa barangan secara pukal seperti barangan pembinaan atau keluaran sawit untuk menggunakan pengangkutan sungai.
“Hal ini kerana ianya lebih selamat dan lebihan muatan yang menjadi punca jalan rosak,” tambahnya.
Mengenai ulang tahun LSS, Kim Shin menyeru agar semua warga LSS agar berganding bahu untuk terus memacu sektor pengangkutan sungai di Sarawak.
“Sepanjang 30 tahun penubuhannya, LSS memainkan peranan penting dari segi kesihatan dan keselamatan sungai,” katanya.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan I (Udara dan Jalan) Datuk Dr. Jerip Susil dan Timbalan Menteri Pengangkutan II (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep. -TVS