BINTULU, 24 Okt: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol menegaskan Sarawak sentiasa mengamalkan politik sihat.
Menurutnya, sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, kedatangan calon-calon yang bertanding wajar disambut dengan baik oleh penduduk.
“Berkelakuan sopan adalah adat dan budaya kita. Ini adalah kerajaan demokrasi, amalan saling membenci dan pergaduhan tidak boleh diamalkan di dalam politik di Sarawak,” katanya dipetik menerusi laporan berita UKAS, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa menekankan usaha ke arah kesejahteraan masyarakat.
“Usaha mereka (wakil rakyat) sentiasa diteliti menerusi laporan kerja masing-masing dan disemak oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg setiap dua bulan sekali,” katanya.
Beliau berucap pada Program Kem Explorasi Belia di Rumah Enbau dan majlis perasmian Tadika Kemas Rh. Enbau di sini, hari ini.
Turut hadir, calon GPS Iskandar Turkee dan Tuai Rumah Enbau Anting. – TVS