KUCHING, 24 Okt: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) menyumbang RM500,000 bagi membantu penganjuran Sarawak Regatta 2023 dan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa 2023.
Cek sumbangan disampaikan oleh pengerusinya, Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini.
Abdul Karim berkata, Kerajaan Sarawak menghargai sumbangan itu yang menunjukkan sokongan syarikat korporat seperti Petros terhadap penganjuran acara pelancongan di Sarawak.
“Kita yakin Sarawak Regatta dan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa tahun ini pasti akan berlangsung dengan jayanya,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek sumbangan itu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting.
Menurut Abdul Karim, kerjasama strategik dan penglibatan pihak swasta untuk menganjurkan acara pelancongan di Sarawak akan membantu mengembangkan program dengan lebih meluas.
“Pada masa sama, acara selama dua minggu ini akan turut menjana ekonomi menerusi jualan yang diadakan.
“Tebingan Kuching pasti akan menjadi destinasi wajib dikunjungi yang akan dibanjiri oleh warga tempatan, pelancong dan peserta yang bertanding,” katanya. -TVS