JEPAK, 24 Okt: Gerak kerja Gabungan Parti Sarawak (GPS) setakat hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menunjukkan momentum yang baik.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, perkembangan itu memberi petanda positif kepada GPS untuk mempertahankan kerusi berkenaan menerusi calon yang ditampilkan, Iskandar Turkee.
“Momentum pada PRK ini kebiasaannya perlahan pada hari pertama dan kedua, tetapi kita lihat momentum GPS mula meningkat dengan sangat baik sejak beberapa hari yang lalu.
“Saya pasti pada hari-hari berikutnya kita (GPS) dapat mempertingkatkan lagi momentum dan disebabkan itu, kami semua turun ke sini untuk membantu calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam bersama Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Restoran Sinong Riverside di sini, malam ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Iskandar.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kempen GPS pada PRK DUN Jepak, Dr Annuar berkata keempat-empat parti komponen memainkan peranan masing-masing dalam memenangkan Iskandar.
“Kerjasama antara PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak sangat baik.
“Setiap parti mempunyai jentera masing-masing dan mereka bergerak ke kawasan tertentu. Itulah cara gerak kerja kita supaya kempen kita dapat meliputi semua kawasan,” katanya.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon GPS dengan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing. -TVS