KUCHING, 24 Okt: Bekas pemain import bola sepak Sarawak FA, Robert Eshun dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika memandu ke tempat kerjanya.
Mendiang yang pernah beraksi bersama skuad Bujang Senang pada 2003 serta pemain yang disegani meninggal dunia pada usia 49 tahun di London.
Berita kematian pemain yang pernah beraksi bersama beberapa kelab di Afrika, Eropah dan Asia itu, dilaporkan oleh beberapa portal berita Ghana pada Isnin.
Dalam pada itu, Facebook FA of Sarawak berkata mereka berdukacita sebaik sahaja mendengar perkhabaran duka itu.
“Kami amat berdukacita dengan pemergian bekas pemain import Sarawak FA yang berasal dari Ghana Robert Eshun,” katanya.