BRUSSELS, 23 Okt: Lebih 40,000 penduduk di Brussels, Belgium berhimpun dan berarak di tengah bandar itu sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
Rapat umum itu diadakan di hadapan institut Eropah mendesak krisis kemanusiaan di Gaza dihentikan segera.
Seorang warga Palestin yang menetap di Brussels, Hana El Mohor, 24, berkata perhimpunan itu penting bagi menyatakan kebersamaan dalam isu tersebut bagi mendesak kuasa dunia mengambil tindakan.
“Adalah penting untuk semua berada di sini bersama-sama menunjukkan tentangan dengan cara yang aman, menyeru tindakan antarabangsa terutamanya gencatan senjata dan menamatkan pembunuhan beramai-ramai.
“Dalam masa yang sukar ini, kami di sini menyokong antara satu sama lain dan pastinya ini (demonstrasi) adalah sebagai sokongan dan solidariti,” ujarnya.
Situasi sama berlaku di Srajevo, Bosnia Herzegovina yang mendesak kekejaman di Gaza itu perlu dihentikan serta merta.
“Sudah tiba masanya untuk keamanan. Dari Sarajevo, saya merayu kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan segera menghentikan perang dan pembunuhan beramai-ramai dan sekaligus membebaskan Palestin. Inilah cara kita boleh mencapai keamanan yang adil, berkekalan dan stabil di Timur Tengah,” tegas Presiden Komuniti Palestin di Bosnia, Majed Maarouf.
Sehingga kini, lebih 4,600 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dilaporkan terbunuh susulan konflik berkenaan. – TVS