Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Iskandar Turkee bersalaman dengan orang ramai ketika berkempen di Balai Raya Kampung Jepak, Bintulu, hari ini. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS)

PRK Jepak: GPS hargai sokongan diberikan PSB – Awang Tengah

BINTULU, 23 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik dan menghargai sokongan yang diberikan Parti Sarawak Bersatu (PSB) kepada GPS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Pengarah Pilihan Raya GPS bagi PRK DUN Jepak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sokongan yang diberikan PSB itu tidak melibatkan soal keahlian parti itu ke dalam GPS.

“Apa yang kita hendak tekankan di sini ialah kita hargai semangat mereka dalam memberikan sokongan. Kita terima dan bersyukur disebabkan oleh kesedaran mereka untuk memberi sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa kempen calon GPS, Iskandar Turkee di Balai Raya Kampung Jepak di sini, hari ini.

Program anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Jepak itu turut disertai Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol.

Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, GPS memerlukan sokongan padu para pengundi Jepak untuk memudahkan pelaksanaan rancangan yang telah diatur.

“Kita mahu bekerja untk melaksanakan sesuatu yang sudah dirancang dan ada antaranya sudah pun dilaksanakan.

“Sebab itu kita perlukan sokongan daripada masyarakat supaya dapat memudahkan kerja kita dalam melaksanakan rancangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Awang tengah berkata, kawasan Jepak mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai bandar satelit.

Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak sedang menyusun infrastruktur di kawasan pinggir bandar itu terutamanya membangunkan kawasan perumahan.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) Chieng Lea Phing. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan