Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengambilalihan syarikat penerbangan kecil bagi mengatasi masalah harga tiket penerbangan yang mahal dilihat bakal berdepan pelbagai cabaran terutamanya membabitkan kos. Foto hiasan, Envato.

Kos pengambilalihan syarikat penerbangan tinggi, kata perunding kewangan

BySheera Abang Mansor

KUCHING, 23 Okt: Pengambilalihan syarikat penerbangan kecil bagi mengatasi masalah harga tiket penerbangan yang mahal dilihat bakal berdepan pelbagai cabaran terutamanya membabitkan kos.

Perunding kewangan, pelaburan dan keusahawanan, Dr Moslem Anoar berpendapat, kesukaran itu berikutan kos operasi penerbangan sangat tinggi manakala dalam konteks di Sarawak pula, jumlah trafik penumpangnya masih rendah.

Kata beliau, sekiranya pengambilalihan operasi itu hanya untuk segmen udara terhad, pemilik baharu perlu memikirkan banyak faktor sampingan lain.

“Saya rasa sukar untuk mereka (pemilik baharu) berbuat demikian. Pertama, harga tiket akan murah namun jumlah penumpang, tidak penuh.

“Populasi Sarawak jika ditambah tolak, mungkin sekitar tiga juta namun disebabkan untuk memenuhi keperluan orang Sarawak dan pelajar dari Semenanjung Malaysia di Sarawak, (maka harga) tiket rendah ditawarkan, sukar untuk menampung kos operasi,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Dr Moslem Anoar ketika dihubungi TVS menerusi panggilan video hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan kecil dalam usaha menyediakan kadar tambang yang berpatutan untuk rakyatnya.

Sementara itu Moslem berkata, sekiranya bukan bermotifkan keuntungan, Kerajaan Sarawak perlu memikirkan langkah terbaik untuk memastikan jangka hayat syarikat penerbangan tersebut.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik hasrat Kerajaan Sarawak untuk mengambil alih MASwings berbanding memulakan syarikat penerbangan sendiri yang akan memakan kos yang lebih besar.

“Pengambilalihan MASwings juga akan memakan banyak kos namun (lebih baik) berbanding memulakan syarikat penerbangan baharu yang memerlukan kos untuk permohonan termasuk pajakan atau pembelian pesawat, pelesenan, infrastruktur, insurans dan banyak lagi, semua itu adalah jumlah yang perlu ditanggung,” katanya.

Menurutnya lagi, langkah mengambil alih syarikat penerbangan tidak semudah mengambil alih perniagaan lain kerana ia bukan sahaja melibatkan pematuhan kepada banyak peraturan, malah nyawa penumpang. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan