Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyambut baik rundingan Kerajaan Sarawak dengan KPM untuk atasi masalah kekurangan guru di wilayah ini. Foto hiasan, Muhammad Rafiq (TVS).

KGBS sambut baik kursus perguruan di maktab dan universiti di Sarawak

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 23 Okt: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyambut baik rundingan Kerajaan Sarawak dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membolehkan kursus perguruan ditawarkan di maktab dan universiti di sini.

Presidennya, Zulkiflee Sebli berkata, perkara itu merupakan langkah tepat untuk mengatasi isu kekurangan guru yang sudah lama berlaku di Sarawak.

Beri peluang anak tempatan jadi guru di Sarawak – Abang Johari

Ujar beliau, inisiatif oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi masalah berkenaan di Sarawak masih belum berhasil.

“Masalah kekurangan guru di Sarawak bukanlah isu baharu dan sudah tiba masanya tindakan konkrit seperti yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Sarawak diberi perhatian serius.

“KGBS menyokong Premier Sarawak yang mahukan institut pendidikan dan universiti di Sarawak melahirkan guru dalam kalangan anak tempatan sekali gus mengatasi kekurangan guru yang masih kritikal.

“Selain itu masalah kekurangan guru di Sarawak terus berlaku walaupun KPM melaksanakan banyak pengambilan baharu setiap tahun antaranya menerusi Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) dan guru kontrak,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sesi Town Hall Sarawak Agenda di Kuala Lumpur sempena program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023 kelmarin memaklumkan Kerajaan Sarawak sedang berunding dengan KPM untuk mengatasi isu kekurangan lebih 3,000 guru di wilayah ini.

Jelas Abang Johari, antara butiran rundingan ialah membenarkan universiti di Sarawak menyediakan kursus perguruan dengan keutamaan diberikan kepada anak Sarawak untuk mengajar di sekolah di wilayah itu.

 

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Zulkiflee Sebli.

Sementara itu, Zulkiflee berkata, beliau yakin tawaran kursus perguruan di institusi pengajian tinggi di Sarawak akan mampu melahirkan guru dalam kalangan anak tempatan yang dapat membantu Sarawak mencapai sasaran menjadi wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“KGBS pasti jika rundingan di antara kerajaan Sarawak dan KPM berjaya, kita yakin ia akan dapat mengatasi kekurangan guru di Sarawak.

“Sarawak mampu melahirkan guru untuk menyahut cabaran pendidikan dengan semangat keikhlasan mendidik anak bangsa,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan