BINTULU, 23 Okt: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee akan memfokuskan pembangunan golongan belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Ini kerana menurutnya golongan muda merupakan pengundi paling ramai di sini.
“Kita cuba bantu mereka mengenal pasti serta melengkapkan kemahiran yang dimiliki dengan minat.
“Oleh itu, kita akan melihat bagaimana untuk bekerjasama dengan institusi latihan negeri dan persekutuan untuk membantu mereka memperolehi kemahiran.
“Apabila mempunyai kelayakan yang diiktiraf, mereka berpeluang mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan membantu meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis perasmian Dewan Serbaguna Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Sait di Bintulu hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Pilihan Raya GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Dr Ripin Lamat dan Tuai Rumah R. Sait Jaya.
Sementara itu,Iskandar juga berikrar untuk mendengar isu yang dibangkitkan oleh penduduk Jepak sekiranya dipilih pada 4 November ini.
“Bagi memastikan setiap permasalahan dapat diselesaikan, saya akan merujuk kepada jabatan atau agensi yang terlibat,” katanya.
Mengenai masalah sosial di rumah panjang pula, Iskandar berkata, beliau juga akan mendekati golongan belia di situ serta akan menganjurkan program yang sihat.
“Kita tidak boleh lari daripada permasalahan sosial di rumah panjang yang dihadapi oleh golongan remaja,” katanya. -TVS