SIBU, 23 Okt: Persidangan Pencipta Kandungan Antarabangsa (ICCC) menjadi platform penting kepada pencipta kandungan untuk mendapatkan pendedahan mengenai hala tuju mereka dalam bidang tersebut.
Penyampai berita TVS, Bryan Liew berkata, berdasarkan pengalaman, dia mendapati masih ramai penggiat buntu untuk ‘menjual’ produk yang dihasilkan secara lebih meluas.
Sehubungan kata Bryan, penganjuran ICCC di bandar ini tepat pada masanya kerana peserta diberikan tips- tips penting serta berpeluang mencipta jaringan kerjasama yang lebih luas.
“Peserta didedahkan dengan pelbagai platform media yang ada termasuk TVS yang merupakan stesen televisyen pertama milik Kerajaan Sarawak.
“TVS boleh menjadi platform kepada pencipta kandungan untuk menjual hasil kerja mereka,” katanya.
Terdahulu, Bryan dijemput berkongsi pengalamannya dalam industri kreatif bersama peserta yang menyertai ICCC.
Mengenai potensi penggiat industri di bandar ini, Bryan berkata, beliau yakin Sibu memiliki ramai bakat yang boleh diketengahkan dalam bidang produksi.
“Sudah pasti yang sangat menarik (untuk melihat) kandungan kreatif yang dihasilkan di sini,” katanya.
Hampir 600 peserta termasuk dari luar negara menyertai ICCC yang berakhir semalam.
ICCC dianjurkan oleh Persatuan E-Platform Media Digital Sarawak dengan kerjasama Universiti Teknologi Sarawak (UTS).-TVS