KUCHING, 23 Okt: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu memahami keperluan pengundi muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak untuk menambat hati golongan berkenaan.
Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ammar Redza Ahmad Rizal berkata, sekiranya perkara itu diberi perhatian, tidak mustahil mereka akan terus menyokong GPS pada Pilihan Raya Kecil DUN Jepak 4 November depan.
Kata beliau, Kerajaan Sarawak yang ditadbir GPS sebelum ini telah menyediakan pelbagai peluang kepada pengundi muda dan perkara itu harus ditekankan pada kempen yang sedang berlangsung.
“Ini (termasuk fakta bahawa) GPS selama ini telah menyediakan ruang dan peluang untuk anak muda melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Ia juga termasuk bidang seperti keusahawanan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya ketika dihubungi TVS pada Isnin.
Tambah beliau, GPS juga perlu melakukan penambahbaikan terhadap aspek pembangunan di Jepak untuk manfaat penduduk.
“Kita percaya dengan proses pembinaan Jambatan Jepak, apabila siap akan menjadi akses perhubungan penting di antara Jepak dan Bandar Bintulu.
“Apabila perhubungan fizikal bertambah baik, ini akan membuka peluang pekerjaan dan saya fikir, inilah salah satu iltizam yang harus ditunjukkan oleh GPS,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Ammar Redza berkata, sekiranya GPS berjaya menyantuni kesemua faktor dinyatakan, maka parti tersebut tidak bermasalah untuk mempertahankan DUN Jepak.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Iskandar Turkee yang ditampilkan GPS dengan Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).
Berdasarkan data yang dikemaskini pada 15 September lalu, DUN itu mempunyai 22,804 pemilih membabitkan 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. – TVS