BALIK PULAU, 23 Okt: Gara-gara menampar seorang petugas Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) yang sedang mengambil sampel jentik-jentik di rumahnya di Taman Melati di sini, seorang lelaki ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Suptendan Kamarul Rizal Jenal berkata, penahanan suspek berusia 44 tahun yang bekerja penghantar makanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang menjalankan tugas itu kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ujarnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika penjawat awam itu sedang membuat pemeriksaan nyamuk aedes di kawasan perumahan terbabit.
“Berdasarkan keterangan mangsa, dia didatangi suspek secara tiba-tiba ketika sedang mengambil sampel jentik-jentik di rumah lelaki tersebut.
“Suspek kemudian bertindak menampar muka mangsa beberapa kali hingga mengakibat luka kecil pada dahi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kata Kamarul Rizal, suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – TVS