KAPIT, 22 Okt: Tiga remaja lelaki termasuk dua pelajar sekolah menengah maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Mujong, Ulak Tapang, Baleh, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan (DSP) Rohana Nanu berkata, kesemua mangsa yang berusia 15 hingga 23 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Polis menerima laporan kemalangan itu pada 5.30 petang dan siasatan di tempat kejadian mendapati kesemua mangsa menunggang motosikal dari Jalan Mujong ke Jalan Selirik.
“Mereka dipercayai terlibat dalam lumba haram. Motosikal yang ditunggang oleh kesemua mangsa dipercayai bergesel sesama sendiri sebelum terbabas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Meurut Rohana, kesemua mangsa juga didapati tidak mempunyai lesen memandu (lesen motosikal) yang sah.
“Mayat dihantar ke Hospital Kapit pada pukul 11.30 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -TVS