BINTULU, 22 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengalu-alukan sekiranya ada parti komponen di bawah Kerajaan Perpaduan ingin menghantar jentera membantu kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Pengarah Pilihan Raya GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau menerima segala bantuan daripada parti yang sehaluan dengan gabungan itu.
“Pada hari penamaan calon semalam, kita lihat Parti Sarawak Bersatu (PSB) turun menyokong calon GPS.
“Ketika berlangsung pilihan raya, kita terima dengan hati yang terbuka sesiapa sahaja yang mahu membantu untuk memenangkan GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama GPS di sini hari ini.
Dalam pada itu, Awang Tengah memberitahu jentera GPS telah membuka bilik gerakan untuk mengkoordinasi aktiviti-aktiviti yang dirancang.
“Di situ juga kita akan merangka pelbagai program yang akan dianjurkan untuk penduduk setempat.
“Kita mendapati berlaku pertambahan pengundi baharu khususnya golongan muda, sehubungan itu banyak program bakal dianjurkan untuk mereka,” katanya. -TVS